TAWAU : Sebuah bot nelayan tempatan ditahan selepas dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari dua batu nautika dari daratan, di sini semalam.
Pengarah Maritim Zon Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tiga lelaki merupakan dua pemegang passport warga Indonesia manakala seorang warga tempatan berumur 42 hingga 63 tahun ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen.
Katanya, bot nelayan terbabit dikesan menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan kira-kira 1.7 batu nautika barat daya Muara Sungai Merotai.
“Kesemua awak-awak, bot serta muatan hasil laut ditahan sebelum diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
“Bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM 117,000,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Shahrizan berkata, orang tamai yang mempunyai maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.