KOTA KINABALU: PKR Sabah masih mempunyai kuasa dalam menguruskan hal ehwal pilihan raya di peringkat negeri, manakala peringkat Pusat sentiasa mendengar nasihat dan pandangan daripada kepimpinan negeri.
Pengarah Bersama Jawatankuasa Pilihanraya Keadilan Sabah, Abdul Razak Jamil mengeluarkan kenyataan itu susulan isu perletakan jawatan serta-merta Ketua Unit Logistik Jawatankuasa itu, Fekirie Gobet yang mendakwa peranan jawatankuasa negeri itu tidak lagi relevan apabila urusan logistik diambil alih sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP).
Beliau berkata, dakwaan Fekirie yang JPR Sabah hilang autonomi dalam perbuatan keputusan tidak benar, tidak berasas serta mengelirukan penyokong parti.
“Fekirie sendiri beberapa kali tidak hadir mesyuarat yang diadakan sebelum ini. Oleh itu, tidak wajar mendakwa isu keputusan Jawatankuasa diketepikan oleh peringkat Pusat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, kata Abdul Razak, fungsi unit Logistik hanya bermula selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar.
“Tiada isu berhubung pengambilalihan tugasan logistik oleh JPRP dan semua urusan masih berjalan dengan teratur mengikut rancangan,” katanya.
Dalam surat perletakan jawatan Fekirie bertarikh 26 Ogos lalu yang ditujukan kepada Pengarah Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Peto Galim, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati banyak keputusan dibincangkan di peringkat JPRS diketepikan, sekali gus menggambarkan kehilangan autonomi dalam pengurusan pilihan raya di Sabah.
“Bukan sahaja unit logistik, malah beberapa unit lain dalam JPRS turut berdepan situasi sama. Hasil perbincangan dengan rakan-rakan juga menunjukkan kita tidak lagi mempunyai ruang membuat keputusan, sebaliknya hanya menunggu arahan daripada pusat,” katanya.
Sabah News Today sedang mendapatkan maklum balas daripada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berhubung perkara itu.
