KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud memuji Bajet terbesar dibentangkan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Hajiji Noor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Jumaat lalu.
Beliau berkata, Bajet berjumlah RM5.138 bilion merupakan rekod tertinggi sekali gus sejarah baharu kewangan Sabah memiliki lebihan RM130.47 Juta.
“Bajet bertemakan Ekonomi Perkasa Rakyat Sejahtera diharap dapat digunakan sebaik mungkin untuk manfaat rakyat.
“Tidak guna jika hanya Bajet besar tetapi tidak menyelesaikan isu-isu yang sering dihadapi oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mustapha berkata, beliau memohon agar peruntukan tebatan banjir serta penyelenggaraan parit dan saliran dapat digunakan sebaik mungkin.
“Ini bagi meminimakan masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa lokasi serta kampung di sekitar sepanggar.
“Kita juga menyeru agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menerima peruntukan RM3 Juta tahun depan agar dapat membantu usaha mengurangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat mengikut keutamaan di kawasan masing-masing,” katanya.
Mustapha berkata, dalam tempoh terdekat beliau bercadang untuk menemui agensi serta Jabatan berkaitan untuk mendapat maklumat terperinci tentang perancangan dan perlaksanaan mereka dalam menangani isu banjir di Sepanggar.
“Sebagai Ahli Parlimen yang baharu di sini kita mengharapkan kerjasama dari semua pihak agar isu-isu ini dapat diangkat ke peringkat Parlimen.
“Saya perlu input serta cadangan agar dapat dibawa kepada perhatian Perdana Menteri dan Kementerian yang berkenaan. Masa untuk kita berkerja untuk rakyat dan redakan suhu politik negara,” katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin.