KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony meninggalkan Warisan dan bakal menubuhkan parti baharu yang mesra kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bagaimanapun, penubuhan parti baharu yang berasaskan masyrakat Kadazan Dusun Murut (KDM) itu hanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat awal januari depan.
Seorang lagi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang turut mengumumkan beliau meninggalkan Warisan.
Peter berkata, antara faktor utama iaitu ingin fokus kepada perjuangan di negeri Sabah bersama-sama pemimpin lain di negeri.
“Saya bersedia dikenakan tindakan undang-undang berikutan langkah meninggalkan Parti WARISAN.
“Apa yang penting bagi kami rakyat adalah tunjung utama kepada perjungan kami. Faktor WARISAN melebarkan sayap ke semenanjung antara sebab utama meninggalkan WARISAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.
Mengulas mengenai parti baharu nanti yang dilancarkan Januari depan Peter berkata, kemungkinan besar akan ada lagi beberapa ADUN akan menyertainya namun enggan mengulas lanjut perkara tersebut.
Sebelum ini, tiga ADUN Warisan mengumumkan keluar parti, iaitu Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr.Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama).
Hassan dan Mohamaddin kemudiannya menyertai Bersatu, manakala Yusof kekal sebagai ADUN bebas mesra kerajaan sehingga kini.