SPRM tahan presiden NGO Sabah disyaki seleweng peruntukan RM2 juta

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyalah guna kuasa membabitkan penyelewengan peruntukan pembinaan sebuah dewan bernilai kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan kesalahan itu pada 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri ini.

Suspek juga dipercayai mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri projek pembinaan dewan berkenaan tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan terbabit.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek dijangka didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis.