KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melaksanakan 10 pelan tindakan interim termasuk menubuhkan sebuah jawatankuasa task force bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP).
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan memandang serius isu itu kerana memberi kesan kepada rantaian logistik, kos operasi dan harga barangan.
Menurut beliau, jawatankuasa yang dipengerusikannya akan menyelaras pelaksanaan semua pelan tindakan yang telah diluluskan Jemaah Menteri.
Katanya, antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah penambahan container yard, pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS), operasi 24 jam agensi kerajaan, perpindahan operasi RORO ke Pelabuhan Kota Kinabalu serta pelaksanaan Berthing Window Programme.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Ewon turut menjelaskan bahawa adalah pramatang untuk menjalankan audit rasmi terhadap prestasi DP World Sabah kerana syarikat itu mengambil alih operasi ketika projek pembesaran pelabuhan masih belum siap.
Menurutnya, purata masa menunggu kapal berjaya dikurangkan daripada 66 jam kepada 20.24 jam selepas pengambilalihan, namun kapasiti kawasan penyimpanan kontena yang terhad masih menjadi cabaran utama.
