PENAMPANG: Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Bundusan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati memandu dengan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.
“Dalam operasi itu, seramai 62 individu diperiksa membabitkan 58 kenderaan, manakala enam saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Op Mabuk akan terus dipergiat bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol kerana tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
