Lelaki maut dibaham buaya ketika cuci bot

KINABATANGAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham buaya ketika mencuci bot di Kampung Batu Putih, di sini, petang semalam.

Mangsa, Rusli Mardin, 57, dilaporkan hilang selepas diserang reptilia itu pada kira-kira jam 6.31 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Komander Operasi, PBK I Jasmani Osni berkata, operasi hari pertama terpaksa dihentikan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.

“Pada jam 4.45 pagi tadi, bomba menerima maklumat mangsa ditemukan orang awam kira-kira 500 meter ke hilir sungai dari lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan dengan kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan sebelum disahkan meninggal dunia oleh polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.