KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana murid yang didapati terbabit dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial di Tawau.
JPN Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah bertindak segera mengenal pasti murid yang terbabit dan menjalankan siasatan dalaman.
Menurut kenyataan itu, kes berkenaan turut disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPN Sabah memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
“Walaupun kejadian berlaku di luar kawasan sekolah, sebarang bentuk salah laku membabitkan murid dipandang serius kerana boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan murid serta imej institusi pendidikan.
“JPN Sabah tidak akan berkompromi terhadap salah laku sedemikian dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan serta garis panduan yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
