Budaya kepenggunaan bijak perlu diperkasa, kata Ghazali

KOTA KINABALU: Budaya kepenggunaan yang bijak, beretika dan bertanggungjawab perlu terus diperkasakan bagi membantu rakyat mengurus kos sara hidup serta mewujudkan ekosistem perdagangan yang adil dan telus.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, pengguna perlu lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab mereka dengan mengamalkan sikap membandingkan harga, membuat pilihan tepat serta mengelakkan pembaziran.

Beliau berkata, usaha itu memerlukan kerjasama kerajaan, peniaga dan pengguna bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Fiesta Kepenggunaan menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak pengguna serta memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan secara lebih dekat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada Majlis Penutupan Fiesta Kepenggunaan KPDN Sabah 2026 di One Borneo Shopping Mall.