TONGOD: Penduduk Kampung Susuoi dan beberapa kampung berhampiran mendakwa kegiatan pembalakan yang sedang dijalankan di kawasan Ulu Kampung Kawayoi, Inarad, sejak kira-kira dua bulan lalu menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran sungai serta kerosakan jalan kampung.
Seorang wakil penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Raimon berkata, lebih 300 penduduk Kampung Susuoi bergantung kepada sungai berhampiran sebagai sumber utama bekalan air harian.
Menurutnya, aktiviti pengangkutan kayu balak menggunakan Jalan 63 Matiku sebagai laluan utama didakwa menyebabkan keadaan jalan rosak teruk sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.
“Disebabkan aktiviti itu, air sungai yang menjadi sumber utama penduduk turut didakwa tercemar dan keadaan ini amat membimbangkan kami,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, penduduk berharap syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan dapat menjelaskan status operasi mereka kepada masyarakat setempat.
“Jika operasi ini mempunyai lesen yang sah, kami berharap pihak berkaitan dapat memaklumkan kepada penduduk bagi mengelakkan salah faham serta membolehkan sebarang isu diselesaikan secara baik.
“Jika tiada kelulusan, kami memohon Jabatan Perhutanan Sabah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya.
Menurut Raimon, kawasan berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan dengan aktiviti pembalakan haram yang kemudiannya diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Penduduk berharap pihak berkaitan dapat menjalankan siasatan segera bagi memastikan semua aktiviti pembalakan di kawasan itu mematuhi syarat lesen, peraturan alam sekitar dan tidak menjejaskan kebajikan penduduk setempat.
