Semporna kini lebih bersih, pelancong luar mula beri pujian

SEMPORNA: Pekan Semporna yang suatu ketika dahulu sering dikaitkan dengan isu kebersihan kini memperlihatkan perubahan ketara apabila menerima pujian daripada pelancong tempatan dan luar negara yang menyifatkan kawasan itu lebih bersih, teratur dan selesa untuk dikunjungi.

Tinjauan sekitar pekan pada waktu malam mendapati kakitangan Majlis Daerah Semporna (MDS) terus menjalankan kerja-kerja pembersihan secara berterusan bagi memastikan kawasan awam, jalan utama serta lokasi tumpuan pelancong sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Usaha berkenaan dilihat membuahkan hasil apabila semakin ramai pelancong berkongsi pengalaman positif mengenai tahap kebersihan Semporna menerusi media sosial.

Jika sebelum ini isu kebersihan bandar pelancongan itu sering menjadi perhatian dan mengundang pelbagai kritikan, kini keadaan tersebut dilihat semakin berubah hasil komitmen pihak berkuasa tempatan bersama masyarakat dalam memastikan imej Semporna terus dipertingkatkan.

Perubahan itu turut diharap dapat memperkukuh kedudukan Semporna sebagai antara destinasi pelancongan utama negara serta pintu masuk ke pulau-pulau terkenal dunia seperti Sipadan, Mabul dan Kapalai.