Firdaus Diun persoal dakwaan arahan sekat kemasukan aktivis ke Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Wira Warisan Pusat, Mohammad Firdaus Diun menggesa kerajaan negeri mengesahkan atau menafikan dakwaan bahawa seorang Pengarah Eksekutif sebuah badan pemantau pilihan raya disekat daripada memasuki Sabah atas arahan Ketua Menteri.

Menurut Firdaus, jika dakwaan itu benar, ia membangkitkan persoalan serius mengenai penggunaan kuasa imigresen negeri.

Beliau berkata, kuasa imigresen tidak sepatutnya digunakan untuk menyekat individu yang membawa pandangan kritikal terhadap kerajaan.

Firdaus turut mempersoalkan asas undang-undang dan faktor keselamatan yang menjadi pertimbangan dalam keputusan berkenaan.

“Jika tiada alasan keselamatan yang kukuh, tindakan itu hanya akan menguatkan persepsi bahawa kerajaan cuba menghalang pendedahan atau kritikan berkaitan isu rasuah,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat bagi mengelakkan spekulasi berterusan.

Katanya, ketelusan dan akauntabiliti perlu dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar slogan.