Pacuan empat roda terbabas, lelaki maut

KINABATANGAN: Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum masuk ke dalam parit di Kampung Paris 2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.06 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang wanita berusia 53 tahun mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menggerakkan lima anggota bersama sebuah jentera ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan sebelum pemandu disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penumpang wanita dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.