Suami ditahan, isteri parah ditetak 14 kali

KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis selepas disyaki menetak isterinya menggunakan parang hingga menyebabkan mangsa mengalami 14 kesan luka dalam kejadian di Kampung Mangkupa, dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.06 pagi sebelum sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, mangsa yang juga wanita tempatan berusia 40 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah sebelum dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan.

“Suspek melarikan diri ke kawasan kebun sawit berhampiran sebelum menyerah diri di Balai Polis Kota Marudu kira-kira jam 12.15 tengah hari pada hari sama,” katanya.

Menurutnya, polis berjaya menemui parang dipercayai digunakan dalam kejadian serta merampas pakaian suspek yang disembunyikan di kawasan semak.

Mangsa kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.

Suspek berusia 50 tahun direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.