Wanita parah ditetak suami, polis buru suspek

KOTA MARUDU: Seorang wanita berusia 40 tahun cedera parah selepas dipercayai ditetak suaminya dalam kejadian di Kampung Mangkupa, di sini, pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran suami isteri yang didakwa berkaitan perasaan cemburu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek, lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun, menegur mangsa kerana didakwa berbual dengan jiran lelaki sebelum berlaku pertengkaran.

“Suspek dipercayai mengambil parang di dapur lalu menyerang mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami 14 kecederaan termasuk kesan tetakan di bahagian leher,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak saudaranya sebelum jiran menghubungi pihak berkuasa.

Menurut Somiun, mangsa mendakwa suaminya sering menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan jiran, namun dakwaan itu dinafikan.

Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.