TAWAU: Penantian lebih 50 tahun untuk mendapatkan akses jalan yang lebih baik akhirnya menjadi kenyataan bagi penduduk di sebuah kawasan di Merotai hasil usaha pelbagai pihak termasuk sumbangan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah.
Janah Nordin berkata, usaha membuka laluan tersebut bermula sejak zaman arwah datuknya yang sebelum ini terpaksa menggunakan laluan sungai untuk bergerak keluar masuk kawasan berkenaan.
Menurutnya, pelbagai permohonan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan selama bertahun-tahun namun hanya berjaya direalisasikan selepas beberapa siri perbincangan dan tindakan susulan dilakukan.
Beliau berkata, jalan tersebut penting kerana menjadi laluan utama penduduk serta membantu aktiviti ekonomi termasuk pengangkutan hasil sawit dari kawasan berkenaan.
Katanya, Tan Sri Liew Yun Fah turut tampil membantu selepas dimaklumkan mengenai kesukaran yang dihadapi penduduk, termasuk menyumbang batu jalan bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan akses dilaksanakan.
“Syukur kerana usaha yang dilakukan selama ini akhirnya membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Kami amat menghargai keprihatinan Tan Sri Liew Yun Fah yang membantu merealisasikan hasrat penduduk selepas menunggu lebih setengah abad,” katanya.
