KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan komitmennya untuk memastikan tiada pelajar yang layak memasuki universiti itu tercicir daripada melanjutkan pengajian disebabkan masalah kewangan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, universiti menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan awal pendaftaran, bantuan zakat, bantuan kebajikan, bantuan sara hidup dan penempatan kolej kediaman bersubsidi.
Menurut beliau, pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan disaran hadir mendaftar terlebih dahulu sebelum berbincang dengan pihak universiti mengenai bentuk bantuan yang boleh disalurkan.
“UMS sentiasa mengambil pendekatan inklusif bagi memastikan setiap pelajar yang menerima tawaran kemasukan berpeluang memulakan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan.
“Kami mahu setiap pelajar melangkah masuk ke kampus dengan yakin bahawa mereka tidak bersendirian kerana universiti sentiasa bersedia membantu,” katanya.
Beliau berkata, UMS turut memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk yayasan, institusi zakat, badan kebajikan dan rakan industri bagi memastikan lebih ramai pelajar menerima bantuan yang diperlukan.
