Projek bandar baharu buka peluang pelaburan di Tongod

TONGOD: Cadangan pembangunan bandar baharu milinium di Tongod dijangka membuka peluang pelaburan baharu sekali gus merancakkan ekonomi daerah yang sebelum ini dikategorikan antara kawasan kurang membangun di Sabah.

ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, projek tersebut akan melibatkan pembangunan bercampur merangkumi sektor komersial, perumahan, perindustrian dan perkhidmatan.

Menurutnya, kewujudan pusat pentadbiran berkonsepkan mini Putrajaya turut dijangka meningkatkan nilai ekonomi kawasan berkenaan.

“Pembangunan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Tongod, malah berpotensi menarik pelabur dari dalam dan luar negeri,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.