Sabah kekal negeri karbon negatif, kata Hajiji

SOOK: Sabah terus mengekalkan status sebagai negeri karbon negatif atau net carbon sink hasil keluasan kawasan hutan yang signifikan dan keupayaan tinggi menyerap karbon dioksida daripada atmosfera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, status tersebut disokong oleh data inventori gas rumah hijau serta laporan terkini yang menunjukkan hutan di Sabah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kapasiti penyerapan karbon negara.

Menurut beliau, hutan kini menjadi antara aset terpenting dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim dan pemanasan global kerana berfungsi sebagai kawasan yang menyerap lebih banyak karbon berbanding yang dilepaskan ke atmosfera.

“Hutan bukan sahaja penting dari sudut pemuliharaan alam sekitar, malah berpotensi menjadi pemacu kepada pembangunan Ekonomi Hijau dan Ekonomi Biru di Sabah,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dataran Sook.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha konservasi dan pengurusan hutan secara mampan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat.