Warga emas rentung rumah terbakar

SANDAKAN: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Fook Hin, Batu 12, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.38 malam itu, mangsa berusia 84 tahun ditemukan di ruang tamu rumah dua tingkat separuh kekal yang terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba tiba kira-kira jam 9 malam dan mendapati rumah berkeluasan 40 x 80 kaki persegi sedang marak terbakar.

“Terdapat seorang mangsa wanita warga emas dilaporkan terperangkap di dalam rumah dan operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan.

“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera tangki air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.35 malam sebelum mangsa ditemukan pada jam 10.44 malam di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.