KOTA KINABALU: Sabah News Today (SNT) menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Program Dapur Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) hasil penganjuran Pesta Memancing Sepanggar 2026 yang berlangsung meriah semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif SNT, Zakaria Damit berkata, sumbangan itu membuktikan komitmen pihaknya membantu kebajikan mahasiswa terutama golongan B40 menerusi penyediaan kemudahan memasak dan bekalan makanan asas percuma di kampus.
Beliau berkata, kejayaan program itu turut disumbangkan hasil sokongan peserta, komuniti setempat, individu serta syarikat korporat yang tampil membantu menjayakan acara berkenaan.
“Kita mahu program ini bukan sekadar acara riadah, tetapi memberi manfaat terus kepada mahasiswa dan komuniti nelayan di Sepanggar.
“SNT juga merancang meneruskan kerjasama bersama UMS menerusi pelbagai program kebajikan dan pembangunan komuniti pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan itu, hari ini.
Menurutnya, Pesta Memancing Sepanggar akan dijadikan acara tahunan di Sepanggar dengan penglibatan komuniti nelayan pesisir pantai.
Katanya, pihak penganjur turut bercadang memperluaskan pertandingan itu ke kawasan perairan sekitar UMS tahun depan termasuk melabuhkan tukun tiruan bagi membantu pembiakan ikan dan membuka peluang ekonomi kepada nelayan tempatan.
“Kita juga bercadang menggunakan bot nelayan tempatan bagi membawa peserta memancing di kawasan tukun pada masa depan sekali gus membantu menjana pendapatan komuniti nelayan,” katanya.
