Azrul mahu ADUN STAR jelaskan kehadiran bersama Shafie

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim meminta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tampil memberi penjelasan berhubung kehadiran mereka dalam satu majlis yang turut dihadiri Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan pertanyaan dan kegusaran dalam kalangan rakyat memandangkan kedua-dua pemimpin terbabit merupakan wakil rakyat pro kerajaan negeri.

Menurutnya, kedua-dua ADUN tersebut diberi mandat untuk mempertahankan kestabilan serta solidariti kerajaan negeri Sabah.

“Penjelasan yang jelas dan berterus terang amat penting demi memelihara keyakinan rakyat terhadap keutuhan serta kestabilan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul berkata, kedua-dua wakil rakyat berkenaan juga wajar menyatakan pendirian secara terbuka bagi mengelakkan sebarang salah tafsir terhadap komitmen dan kesetiaan politik mereka kepada kerajaan sedia ada.