PGA rampas 3,600 liter petrol terapung di muara sungai Pitas

KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat menerima serahan kes rampasan petrol sebanyak 3,600 liter daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Kudat semalam.

Rampasan tanpa tuan (RTT) itu melibatkan minyak petrol yang ditemui terapung di kawasan muara sungai Kampung Pagason, Pitas.

Ketua Cawangan KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, petrol berkenaan disimpan dalam 18 tong drum plastik berkapasiti kira-kira 200 liter setiap satu dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM7,164.

“Kegiatan ini dipercayai dilakukan di kawasan terpencil bagi mengelirukan dan menyembunyikan aktiviti penyelewengan daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nazatul Shima turut merakamkan penghargaan kepada Kompeni C, Batalion 16 PGA Kudat atas kerjasama strategik dalam menjayakan Ops Tiris 4.0 bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan.

Menurut beliau, KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan sampai kepada golongan sasaran serta mengekang kegiatan penyeludupan dan penyelewengan.