UPPM, Sabah Electricity adakan sesi libat urus isu bil elektrik

KOTA KINABALU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri Sabah mengadakan sesi libat urus bersama Sabah Electricity melibatkan kawasan Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar di Menara Kinabalu hari ini.

Program itu dihadiri Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar bersama pegawai kanan kedua-dua pihak.

Menurut kenyataan, sesi berkenaan bertujuan memperkukuh koordinasi dan penyelarasan antara Sabah Electricity dan UPPM bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lebih berkesan.

Sabah Electricity turut memberi penjelasan berhubung isu kenaikan bil elektrik yang sedang tular termasuk berkaitan wang cagaran serta faktor peningkatan bil pengguna.

Selain itu, syarikat utiliti berkenaan turut memaklumkan penambahbaikan aplikasi mySE+ bagi menyediakan platform digital yang lebih responsif dan mudah digunakan pengguna.

Awang Kadin berkata, kerjasama erat antara semua pegawai dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) penting bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan negeri dapat diterjemahkan secara efektif kepada rakyat.

Beliau berkata, sesi soal jawab pada akhir program turut memberi ruang kepada pemimpin komuniti membincangkan isu semasa di peringkat akar umbi supaya tindakan susulan dapat diambil secara lebih tersusun dan menyeluruh.