KINABATANGAN: Sebanyak 11 ekor gajah termasuk seekor anak gajah berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B.
Kejadian dipercayai berlaku minggu lalu apabila kawanan gajah itu memasuki kawasan kolam sebelum gagal keluar akibat keadaan tebing yang curam dan licin.
Menurut Jabatan Hidupan Liar (JHL), operasi menyelamat segera dijalankan sebaik menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Hasil tindakan pantas dan kerjasama semua pihak, kesemua 11 ekor gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Operasi dilakukan dengan membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat bagi membolehkan kesemua gajah keluar dari kawasan kolam berkenaan.
JHL turut mencadangkan supaya kolam air terbiar itu ditutup atau dipasang halangan keselamatan yang bersesuaian bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
