KOTA KINABALU: Pasangan adik beradik, Khayr Akhtar Ummar Ariff dan Muhammad Yahya Ummar Ariff memasang impian untuk mengharumkan nama Sabah serta Malaysia dalam arena golf antarabangsa.
Kedua-dua pemain muda itu mula menunjukkan potensi besar selepas masing-masing muncul juara kategori pada Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah 2026 yang berlangsung di Nexus Karambunai Golf, baru-baru ini.
Khayr Akhtar, 15, yang juga pelajar Tingkatan Tiga Maktab Sabah menjuarai kategori 15 tahun, manakala adiknya Muhammad Yahya, 12, dari Sekolah Kebangsaan Sri Gaya mengungguli kategori 12 tahun.
Khayr berkata, minat mendalam terhadap golf bermula sejak kecil hasil dorongan bapanya, Ummar Ariff, selain sering mengikuti siaran kejohanan golf antarabangsa di televisyen.
Katanya, pemain ternama dunia seperti Rory McIlroy menjadi idolanya selain turut mengagumi pemain profesional negara, Gavin Green.
“Saya sangat meminati gaya permainan Rory McIlroy terutama pukulan dan teknik putting beliau. Saya juga banyak mengikuti perkembangan Gavin Green yang menjadi inspirasi pemain muda negara.
“Selain latihan di padang dan driving range, bapa kami sering membawa kami mendalami sukan ini sejak kecil,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, meskipun perlu membahagikan masa antara akademik dan latihan, beliau tetap komited meningkatkan prestasi dalam sukan itu.
“Saya mula bermain golf sejak usia 11 tahun dan banyak belajar daripada jurulatih Helmie Yusof serta Fraser Pook.
“Impian kami adalah mahu membawa nama Sabah dan Malaysia ke peringkat lebih tinggi dalam sukan golf,” katanya.
Pada kejohanan MSS Sabah itu, Khayr menamatkan saingan dengan kelebihan enam pukulan dalam 36 lubang bagi kategori 15 tahun, manakala Muhammad Yahya mencatat kemenangan lebih dominan dengan kelebihan 12 pukulan dalam kategori 12 tahun.
