TAWAU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa menerusi Op Hymenoptera dengan rampasan bernilai RM16.34 juta di daerah ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, CP Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas itu dijalankan bersama AKPS dan ESSCOM melalui dua serbuan pada 21 April dan 1 Mei lalu.
Beliau berkata, serbuan pertama di Batu 15 Jalan Apas membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan bersama 130.60 kilogram Methamphetamine.
“Susulan itu, serbuan kedua di Bandar Sri Indah menemui lagi dadah jenis Methamphetamine serta cecair disyaki Fentanyl,” katanya.
Menurutnya, keseluruhan rampasan melibatkan 323.91 kilogram Methamphetamine dan 0.98 liter Fentanyl yang dipercayai mampu merosakkan kira-kira 1.58 juta pengguna.
Katanya, sindiket terbabit menggunakan kenderaan yang diubah suai untuk menyembunyikan dadah sebelum diedarkan ke Sabah.
Dua suspek yang ditahan sudah didakwa di mahkamah pada 6 Mei lalu.
