Rumah musnah 100 peratus dalam kebakaran di Weston

BEAUFORT: Sebuah rumah kediaman jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Laut, Weston, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubuk dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK II Isruwan Osman berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 30 x 70 kaki yang terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan sumber air dari jentera bomba.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 3.29 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Operasi turut berdepan cabaran apabila kawasan kejadian tidak mempunyai litupan GIRN.