KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras ketirisan subsidi negara secara lebih menyeluruh.
Langkah itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat delegasi KPDN Sabah yang diketuai Fredeck Kantod ke atas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Pertemuan tersebut membawa mesej jelas mengenai komitmen kedua-dua agensi dalam memperhebat tindakan penguatkuasaan melalui pendekatan bersepadu yang lebih tersusun, agresif dan berimpak tinggi.
Antara perkara dibincangkan termasuk pengukuhan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 yang sebelum ini berjaya mengekang penyelewengan bahan api petroleum, selain penyelarasan strategi operasi serta perkongsian maklumat risikan.
KPDN turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas kerjasama erat dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan sebelum ini yang disifatkan memberi impak positif dalam mengekang ketirisan subsidi.
