SANDAKAN: Tiga lelaki ditahan dalam operasi Ops Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sandakan di kawasan setinggan Jambatan Merah, Batu 1 1/2, di sini.
Dalam operasi bermula kira-kira 10.30 pagi hingga 1 tengah hari itu, polis menyerbu sebuah rumah tidak bernombor sebelum menahan dua lelaki kerana memiliki dadah jenis methamphetamine (syabu).
Seorang lagi lelaki turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah.
Menurut polis, kesemua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian awal mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” menurut kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi itu dijalankan selaras komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George B. Abd Rakman dalam usaha membanteras jenayah dadah di daerah berkenaan.
