KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena di Jalan Kionsom, Inanam, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.37 malam itu, kereta jenis Perodua Axia dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang lori berkenaan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bergegas ke lokasi dan mendapati dua mangsa tersepit dalam kenderaan.
Menurut pihak bomba, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan, namun seorang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seorang lagi mangsa lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
Pemandu lori kontena berusia 33 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi yang melibatkan 10 anggota bomba itu tamat sepenuhnya pada jam 12.50 tengah malam.
