KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil beberapa langkah tegas bagi menangani wabak kematian ikan pelian yang disahkan berpunca daripada Koi Herpesvirus (KHV).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata wabak itu dilaporkan melibatkan beberapa sungai utama di Keningau, Tambunan, Tenom, Penampang, Tuaran, Ranau dan Sipitang.
Beliau berkata, hasil analisis makmal Jabatan Perikanan Sabah mengesahkan KHV sebagai punca utama kejadian kematian ikan secara besar-besaran itu.
Menurutnya, penularan dipercayai berpunca daripada pelepasan ikan asing, khususnya ikan koi dan spesies keluarga Cyprinidae, ke perairan umum tanpa kawalan.
“Kerajaan mengarahkan semua pengerusi tagal mengenal pasti, menangkap dan mengeluarkan semua ikan koi serta spesies bukan endemik Sabah dari sungai dan kawasan tagal.
“Ikan itu perlu dimusnahkan mengikut SOP biosekuriti dan tidak boleh dilepaskan semula,” katanya dalam kenyataan.
Jamawi berkata, kerajaan turut mengenakan larangan sementara import dan eksport ikan keluarga Cyprinidae ke dan dari Sabah berkuat kuasa serta-merta.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan.
Katanya, wabak berkenaan adalah ancaman serius kepada biodiversiti perairan darat Sabah, khususnya spesies endemik seperti ikan pelian.
