TAWAU: Operasi rondaan cegah jenayah di Jalan Tawau Lama membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dalam tempoh kira-kira 10 minit, dengan kedua-duanya didapati positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek pertama berusia 29 tahun ditahan kira-kira jam 11 malam selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik kecil berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 0.03 gram bersama peralatan menghisap dadah yang disimpan dalam sekotak rokok.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kira-kira 10 minit kemudian, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun di lokasi sama.
“Hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah, namun ujian saringan air kencing mendapati suspek kedua juga positif syabu,” katanya.
Menurutnya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Jasmin berkata, polis akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan rondaan cegah jenayah bagi membanteras penyalahgunaan dadah di Tawau.
