KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan menubuhkan Unit Tindak Balas Krisis Pelancongan bagi memastikan industri pelancongan negeri kekal berdaya tahan dalam berdepan cabaran global semasa.
Unit itu diwujudkan susulan kebimbangan terhadap beberapa faktor luaran, termasuk konflik berterusan di Timur Tengah dan peningkatan kos operasi yang boleh menjejaskan sektor pelancongan.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit, akan mengetuai unit berkenaan, manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Humphrey Ginibun, akan berperanan sebagai Ketua Pegawai Strategi.
Langkah itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula organisasi STB yang bertujuan memperkukuh perancangan, penyelarasan dan tindak balas merentas sektor pelancongan.
Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata walaupun industri pelancongan Sabah kini berada di landasan pemulihan, ketidaktentuan global memerlukan langkah lebih proaktif.
Katanya, ketegangan geopolitik boleh memberi kesan kepada corak perjalanan, harga bahan api, operasi syarikat penerbangan dan seterusnya menjejaskan ketibaan pelawat ke Sabah.
“Sebagai destinasi yang mempunyai jaringan antarabangsa yang kukuh, kita perlu sentiasa berwaspada dan bertindak secara proaktif,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah STB di sini, Selasa lalu.
Beliau berkata, unit itu juga akan berperanan menyelaras maklumat, memperkukuh libat urus dengan pihak berkepentingan dan membantu mempercepat tindak balas terhadap sebarang cabaran.
Selain itu, STB juga akan mempertingkat tumpuan kepada pasaran domestik sebagai langkah penstabil dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Dalam perkembangan sama, STB mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Pemasaran Pelancongan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memperkukuh promosi dan pembangunan produk pelancongan di ibu negeri.
