Sabah sasar 40 emas pada SUKMA Ogos ini

KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah meletakkan sasaran 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung pada Ogos ini, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, persiapan menghadapi temasya berkenaan telah digerakkan sejak awal tahun dengan fokus utama tertumpu kepada aspek latihan, kecergasan serta penyelarasan pengurusan pasukan.

Menurutnya, sasaran itu ditetapkan selepas beliau menerima taklimat daripada pengurusan pasukan SUKMA Sabah yang diketuai Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah.

“Kita telah melakukan persiapan sejak awal tahun ini dan saya yakin pencapaian kita kali ini akan lebih baik berbanding SUKMA sebelum ini.

“Sasaran kita ialah 40 pingat emas, berbanding pencapaian tertinggi lalu iaitu 33 pingat emas ketika temasya di Ipoh, Perak,” katanya.

Nizam berkata, sasaran berkenaan bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah lama diletakkan oleh kontinjen Sabah, namun masih belum berjaya dicapai.

Beliau berkata, kementeriannya kini menuntut komitmen lebih tinggi daripada semua pihak termasuk Majlis Sukan Negeri Sabah, persatuan sukan dan atlet untuk memastikan sasaran itu dapat direalisasikan.

“Saya berharap semua atlet yang telah disenarai pendek terus gigih menjalani latihan dan memastikan stamina serta tahap kecergasan mereka berada pada tahap terbaik.

“Disiplin sebagai seorang atlet harus sentiasa dijaga dan mudah-mudahan dengan kesungguhan serta komitmen mereka, sasaran itu akan tercapai,” katanya.