KOTA KINABALU: PKR Sabah mengecam kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang cuba menghidupkan semula isu tuntutan ke atas Sabah, sambil menegaskan negeri itu kekal berdaulat dalam Malaysia.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, kenyataan sedemikian tidak berasaskan realiti semasa, selain dilihat dangkal dalam konteks krisis tenaga global.
Menurutnya, isu berkaitan Sabah telah lama diselesaikan melalui sejarah, undang-undang dan kehendak rakyat.
“Sabah secara sah menubuhkan Malaysia yang berdaulat pada tahun 1963 berteraskan prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, cubaan Robin Padilla membangkitkan semula tuntutan itu memperlihatkan kecenderungan menggunakan sentimen nasionalis secara populis demi kepentingan politik.
Katanya, tindakan berkenaan juga tidak mengambil kira kesan terhadap hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Filipina.
Farid turut menegaskan bahawa perkembangan undang-undang antarabangsa juga telah mengukuhkan kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Jelasnya, Mahkamah Rayuan The Hague pada 2023 telah menolak permohonan lapan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu bagi menguatkuasakan tuntutan timbang tara hampir USD14.9 bilion terhadap Malaysia.
“Pada Disember 2025 pula, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Final Award’ yang dikeluarkan oleh penimbang tara tidak sah.
“Ini membuktikan bahawa segala cubaan untuk mencabar kedaulatan Sabah dalam Malaysia adalah sia-sia dan akan terus ditolak oleh sistem perundangan antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghormati kedaulatan negara dan tidak menjadikan isu sensitif berkenaan sebagai alat politik.
“Sabah adalah berdaulat dalam Malaysia. Noktah,” katanya.
