Pelan taman perindustrian Kota Belud akan dibawa ke kabinet -Ewon

KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata pelan induk Taman Perindustrian Kota Belud akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri dalam mesyuarat akan datang.

Katanya, pembangunan itu adalah sebahagian usaha kerajaan negeri memperkukuh ekonomi Sabah, termasuk pelan membangunkan taman perindustrian baharu di Kota Belud dan Kudat.

Menurut Ewon, projek tersebut akan dikendalikan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan dijangka mampu menarik pelabur tempatan serta antarabangsa.

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat besar untuk menarik pelaburan ke kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 13,000 ekar kawasan telah dikenal pasti untuk pembangunan itu yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Tambahnya, inisiatif itu dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta memberi manfaat kepada usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana.