KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri perlu dijadikan platform untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Menurutnya, keamanan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini perlu disyukuri serta dipelihara melalui komitmen terhadap kesatuan masyarakat.
“Tanpa kesatuan, masyarakat mudah berpecah belah dan keadaan ini akan merugikan semua pihak. Kesatuan bukan sekadar dari segi ikatan, tetapi juga pemikiran, tujuan dan tindakan,” katanya dalam Perutusan Khas Aidilfitri 1447H/2026M.
Beliau berkata, perbezaan budaya, agama dan tradisi seharusnya dihormati serta dijadikan kekuatan dalam membina masyarakat yang saling menghargai.
Tambahnya, usaha memperkukuh perpaduan perlu disokong melalui pendidikan berkualiti, dasar inklusif serta langkah mengurangkan jurang sosial.
Tun Musa turut menggesa masyarakat menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan serta mengekalkan tradisi ziarah dan bermaaf-maafan sempena Aidilfitri.
