500 pek juadah berbuka diagih kepada frontliner HQE

KOTA KINABALU: Sebanyak 500 pek juadah berbuka puasa diagihkan oleh Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah kepada petugas barisan hadapan serta pengunjung di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), semalam.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata inisiatif itu sebagai tanda penghargaan kepada petugas kesihatan yang terus komited memberikan perkhidmatan kepada pesakit tanpa mengira masa, termasuk sepanjang Ramadan.

Menurutnya, agihan juadah tersebut juga membantu pengunjung yang menziarahi ahli keluarga di hospital supaya dapat berbuka puasa dengan lebih mudah.

“Kita memilih Hospital Queen Elizabeth sebagai lokasi program pada tahun ini bagi menghargai pengorbanan kakitangan hospital yang sentiasa tekun memberikan rawatan terbaik kepada pesakit,” katanya.

Tambah beliau, kementerian turut melaksanakan pengagihan bubur lambuk di Kompleks Sukan Likas sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan tahun ini.