KIULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menggesa agar peruntukan pembangunan bagi kawasan Kiulu dipertingkatkan bagi merealisasikan sepenuhnya potensinya sebagai hab pelancongan dan pertanian luar bandar.
Menurut beliau, penambahbaikan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik amat penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan komuniti tempatan.
“Pembangunan penuh sektor pelancongan dan pertanian Kiulu adalah kunci untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi penduduk.
“Jalan raya, jambatan dan kemudahan asas yang lebih baik akan memudahkan pelawat serta pelabur datang ke sini, selain membantu petani dan usahawan kecil mendapatkan akses lebih luas ke pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang di Pejabat Daerah Kecil Kiulu, hari ini.
Rubin turut mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan jambatan konkrit Bayag dan bangunan sekretariat daerah kecil Kiulu yang sedang dilaksanakan.
Jambatan Bayag yang menghubungkan lebih 20 kampung dijangka siap pada Oktober 2027, manakala bangunan sekretariat daerah kecil itu dijadualkan siap pada Julai 2027.
Joniston turut memaklumkan Kiulu kini dalam perancangan untuk menyertai rangkaian antarabangsa Cittaslow, yang berpotensi menjadikannya bandar pertama di Malaysia menyertai gerakan tersebut yang menekankan gaya hidup lestari dan berkualiti.
