29 PATI warga Filipina ditahan dalam operasi Imigresen di Ranau

RANAU:Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar daerah Ranau pada Selasa.

Operasi yang dijalankan di tiga lokasi berasingan itu melibatkan 18 pegawai daripada Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.

Menurut kenyataan JIM Sabah, pemeriksaan dilakukan terhadap 41 individu dan hasilnya 29 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dewasa, lapan wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan, kesemuanya warga Filipina.

Kesemua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.