Terjun Demi Sahabat, Nyawa Melayang

KOTA KINABALU: Tindakan berani seorang lelaki terjun ke laut demi menyelamatkan rakannya berakhir tragedi apabila dia disahkan meninggal dunia selepas insiden bot karam di perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya  awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Jeksin Bin Eming, 40, dipercayai terjun ke laut selepas rakannya terjatuh akibat pelanggaran dengan bot lain ketika memancing.

Mangsa berjaya dinaikkan ke bot sebelum dihantar ke Hospital Likas namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang.

Seorang lagi mangsa, Jaidin Bin Eming, 30, masih belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia bersama Polis Marin dan APM dijalankan dalam radius tiga batu nautika sebelum ditangguhkan jam 5.06 petang dan disambung semula pagi ini.