PUTATAN: Program walkabout terus menjadi pendekatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan dan komuniti setempat, khususnya ketika musim perayaan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya, berkata, menerusi program itu pihaknya bersama Pejabat Parlimen, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan agensi berkaitan dapat melihat sendiri situasi sebenar di lapangan.
Menurutnya, pendekatan turun padang memberi ruang kepada kerajaan meneliti secara lebih dekat isu dihadapi rakyat termasuk peniaga serta penduduk kawasan perumahan.
“Ia memberikan maklum balas yang lebih telus kerana kita berjumpa secara bersemuka dengan masyarakat.
“Program walkabout bersempena Tahun Baharu Cina dan persediaan Ramadan ini penting untuk kita menerima pandangan secara langsung daripada rakyat bagi menambah baik perkhidmatan serta menangani isu setempat dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan walkabout dan mengagihkan kotak limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina di deretan kedai Pekan Tanjung Aru dan Sembulan pada Sabtu.
Turut hadir, ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya serta pemimpin setempat.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation berkata, program itu signifikan dalam mendekati peniaga masyarakat Tiong Hua di kawasan berkenaan.
“Di Sabah, kita sentiasa mengamalkan toleransi tinggi antara kaum. Program ini bukan sahaja mengagihkan limau tetapi turut mengeratkan hubungan dan berkongsi kemeriahan sambutan bersama masyarakat Tiong Hua,” ujarnya.
Tambah beliau, program seumpama itu merupakan acara tahunan di peringkat Parlimen Putatan sebagai usaha berterusan memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
