SEMPORNA: Hanya 45 daripada 190 premis dan resort pelancongan yang dikenal pasti di Semporna mempunyai lesen sah, menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikannya tadi di Pejabat Daerah Semporna, semalam.
Menurutnya, selebihnya masih dalam proses permohonan atau berdepan isu pematuhan, termasuk berkaitan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC), Sijil Kelayakan Menduduki (OC) serta status tanah.
Katanya, kementerian memandang serius isu premis yang beroperasi tanpa lesen dan telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghentikan pengeluaran lesen sementara kepada premis yang tidak memenuhi syarat.
“Tindakan tegas termasuk penutupan operasi akan diambil terhadap pengusaha yang ingkar,” katanya dalam satu kenyataan.
Jafry turut menggesa semua pengusaha agar segera mematuhi undang-undang bagi menjamin keselamatan pelancong serta menjaga imej pelancongan Sabah.
Beliau menambah kementeriannya akan terus memperkukuh penguatkuasaan, di samping membantu pengusaha yang komited untuk mematuhi peraturan supaya industri pelancongan di Semporna berkembang secara teratur dan mampan.
