SMJ 2.0 bukti kerajaan negeri terus komited, kata Najib Tay

KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang dilancarkan pada 30 Januari lalu dilihat sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan Sabah.

Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA), Datuk Najib Tay Abdullah berkata pelan itu mencerminkan kesungguhan pentadbiran yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.

Menurutnya, pelaksanaan SMJ 2.0 menunjukkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah institusi yang berfungsi dan mempunyai hala tuju jelas melalui pelan pembangunan yang diperkenalkan.

“Selepas edisi pertama SMJ, Ketua Menteri tanpa berlengah melancarkan hala tuju 2.0 bagi meningkatkan keupayaan pembangunan sumber manusia, kebajikan rakyat serta memperkukuh sosioekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib berkata masyarakat Tionghua di Sabah turut mendapat manfaat daripada pelan tersebut kerana ia merangkumi pembangunan untuk semua kaum dan lapisan masyarakat di negeri itu.

SMJ 2.0 digariskan berteraskan prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga” dengan penekanan kepada kepentingan Sabah, pemeliharaan hak negeri serta pembangunan mampan untuk jangka panjang.

Empat teras utama yang diperkenalkan ialah Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Menurut Najib, keempat-empat teras itu merangkumi aspek pembangunan modal insan, pendidikan, peluang ekonomi serta dasar yang lebih mesra rakyat.

Beliau turut menggesa rakyat supaya memberi sokongan kepada kepimpinan negeri bagi memastikan pelaksanaan pelan tersebut berjalan lancar.

Dalam kenyataan sama, Najib mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di Sabah.

“Semoga Tahun Baharu Cina kali ini membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada semua. Raikan bersama keluarga dan utamakan keselamatan sepanjang musim perayaan,” katanya.