LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan 10 warga China dalam Operasi Ops Sapu yang dijalankan di empat kediaman sekitar taman perumahan di sini, awal pagi semalam.
Operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pihak imigresen.
Pengarah Imigresen Labuan berkata, seramai 20 individu diperiksa membabitkan 15 lelaki dan lima wanita, kesemuanya warga China.
“Hasil pemeriksaan mendapati 10 individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, beberapa individu cuba melarikan diri melalui pintu belakang kediaman sehingga berlaku aksi kejar-mengejar, namun semuanya berjaya ditahan tanpa sebarang insiden.
Katanya, empat saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin kerana tindakan tegas boleh diambil mengikut undang-undang.
