LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki dalam tiga kes berasingan membabitkan dadah berbahaya menerusi Operasi Tapis yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.
Dalam serbuan pertama, seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Pisang, Jalan Bakawali selepas polis menemui 5.27 gram syabu. Suspek turut didapati positif dadah hasil ujian saringan awal.
Dalam kes kedua, seorang lagi lelaki warga asing berusia 30 tahun ditahan di Kampung Agaseh, Jalan Tengah Nipah bersama 0.11 gram syabu dan juga disahkan positif dadah.
Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan di Jalan Reno Fajar selepas polis menemui sebotol cecair vape disyaki mengandungi bahan terlarang jenis mushroom.
Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah dadah dan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti itu di daerah ini.
