7 ditahan dalam operasi pengemis di Sandakan

SANDAKAN: Seramai tujuh individu dewasa ditahan dalam Operasi Bersepadu Pengemis dan Orang Kurang Siuman Bil. 2/2026 yang dijalankan di sekitar Bandar Sandakan, di sini semalam.

Operasi itu membabitkan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut kenyataan MPS, empat daripada mereka adalah warganegara Malaysia manakala tiga lagi bukan warganegara.

Katanya, operasi berkenaan dijalankan bagi membendung serta mengurangkan masalah pengemis dan individu kurang siuman demi kesejahteraan serta keselamatan masyarakat setempat.

MPS memaklumkan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif memastikan ketenteraman awam dan persekitaran bandar lebih selamat.