Permuafakatan guru, ibu bapa kunci kecemerlangan murid

PUTATAN: Kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi faktor penting dalam membentuk jati diri serta kecemerlangan murid bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, penglibatan aktif ibu bapa bersama warga pendidik bukan sahaja memperkukuh pencapaian akademik, malah membantu pembentukan sahsiah murid sejak di rumah hingga ke sekolah.

“Permuafakatan ini perlu diperkukuh melalui kesefahaman terhadap peranan dan tanggungjawab bersama demi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“PIBG turut berperanan melengkapi usaha Kementerian Pendidikan dalam menyediakan prasarana serta mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Putatan, di sini, hari ini.

Menurutnya, platform pertemuan seperti itu penting bagi mencari penyelesaian bersama dalam usaha memastikan SMK Putatan terus mencapai visi kecemerlangannya.

Sebagai wakil rakyat, Shah Alfie menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menyediakan persekitaran terbaik kepada guru dan murid.